Showing posts with label Islam itu Indah. Show all posts
Showing posts with label Islam itu Indah. Show all posts

Wednesday, December 15, 2010

MENGHARGAI SEBUAH KEHIDUPAN



  1. Gagal merancang bererti merancang untuk gagal. Hidup kita sudah terbiasa dengan pelbagai rancangan, sama ada apa yang dirancang untuk kita, atau kita sendiri merancang dengan pelbagai harapan.
  2. Hidup berjalan dengan pelbagai perancangan dan jangkaan. Kita melepasi peringkat sekolah rendah – sekolah menengah – universiti – kerja – kahwin – anak – tua – pencen. Setiap peringkat itu berjaya ditempuh dengan kejayaan mengatasi kebarangkalian ia tidak berlaku. Tidak semua yang bersekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Tidak semua yang di universiti berjaya menggenggam segulung ijazah. Belum tentu semua yang berijazah mendapat kerja. Bukan semua yang bekerja bertemu jodoh, berkahwin, beranak pinak dan mencecah usia tua.
  3. Semuanya sentiasa dengan kebarangkalian harapan tidak tercapai
  4. Hanya satu yang pasti berlaku iaitu MATI! Fikir mati pun mati, tak fikir mati pun mati. Bersedia untuk mati pun mati, tak bersedia untuk mati pun mati.
  5. Justeru janganlah dipanggil bakal Datuk kerana mungkin tidak jadi Datuk. Jangan dipanggil bakal Puan Seri kerana mungkin tidak jadi Puan Seri.
  6. Sebaliknya, WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian! Itulah saya dan anda semua.
  7. Islam tak mengajar kita takut dengan kematian tetapi menyedari adanya kematian di hadapan maka HARGAILAH SEBUAH KEHIDUPAN
  8. Teringat kepada perbualan saya dengan ibu bapa yang anak mereka sakit jantung – jangan difikir ajal anak itu kerana mungkin doktor mati dulu kemalangan. Mungkin ibu bapa mati dulu. Mungkin saya mati dulu berbanding anak kecil yang sakit itu. Justeru janganlah dibimbangkan tentang kematian. Sebaliknya hargai setiap detik yang ada.
  9. Nabi SAW bersabda: صلِّ صلاة مودِّع كأنك تراه ، فإن كنت لا تراه فإنه يراك yakni “bersolatlah kamu dengan solat perpisahan seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat merasakan yang kamu melihat-Nya, sekurang-kurangnya rasakanlah bahawa Dia itu melihat kamu”.
  10. Kita akan mati di antara dua solat. Tiada jaminan selesai solat Asar, kita sempat sampai ke Maghrib. Justeru setiap solat, lakukanlah ia sebagai solat terbaikmu.
  11. Wal-‘Asr

Wednesday, November 17, 2010

Fadhilat Berzikir


Hafiz ibnu Qaiyim R.A. adalah seorang ulama hadis yang termashur, di dalam risalah Al-Wabil beliau menggariskan beberapa kelebihan berzikir antaranya:

* Zikir menjauhkan syaitan dan melemahkan kekuatannya

* Zikir menyebabkan Allah redha

* Zikir menjauhkan dukacita daripada hati manusia

* Zikir menggembirakan hati

* Zikir menguatkan badan dan menyeronokan sanubari

* Zikir memurahkan rezeki

* Zikir adalah sinaran hati dan muka

* Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar

* Zikir melahirkan cinta sejati kepada Allah kerana cinta itulah roh islam, jiwa agama, dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Zikrullah itu merupakan pintu cinta Ilahi.

* Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat ihsan. Dengan adanya martabat ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olah ia melihatNya

* Zikir membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat-bulatnya kepada Allah. Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah menjadi pelindung dan pembantu baginya.

* Zikir adalah membawa seseorang kepada Takarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah dan semakin bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya ia bertambah jauh dari Allah.

* Zikir adalah membuka pintu makrifat Allah

* Zikir melahirkan keagungan dan kehebatan Allah dan semangat merapatkan diri kepada Allah.

* Zikir adalah menyebabkan Allah ingat kepada seseorang yang ingat kepadanya seperti mana disebutkan di dalam Al-Quran (surah Al Baqarah 151) "Fazkuruunii azkurkum" ertinya; "kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepada mu".

Tuesday, August 24, 2010

Hadis Nabi

48- Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.” (Hadis Riwayat Muslim)
47- Dari Abu Ayyub al-Anshari r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.” (Hadis Riwayat Muslim)
46- Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang meminjamkan untanya kepada satu keluarga untuk diperah susunya pagi dan petang maka pahalanya sungguh sangat besar.” (Hadis Riwayat Muslim)
45- Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”satu jenazah berlalu di hadapan Rasulullah s.a.w lalu baginda berdiri. Kami pun berdiri juga mengikut baginda. Kemudian kami berkata:”Ya rasulullah! Itu jenazah orang Yahudi.” Sabda baginda:”Kematian itu mengejutkan. Oleh itu bila kamu melihat jenazah (lalu) berdirilah.” (Hadis Riwayat Muslim)
44- Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang mendapatkan Subuh satu rakaat sebelum terbit matahari, bererti dia telah mendapatkan Subuh seutuhnya. Dan sesiapa yang mendapatkan Asar satu rakaat sebelum matahari terbenam, bererti dia telah mendapatkan Asar seutuhnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
43- Dari Abu Hurairah r.a, katanya:”Rasulullah s.a.w melihat kahak di kiblat masjid. Lalu baginda menghadap kepada orang ramai lalu bersabda:”Bagaimana pendapat kamu semua jika seseorang sedang solat menghadap Tuhannya, lalu dia meludah ke hadapan? Senangkah kamu jika kamu sedang dihadapi seseorang, tiba-tiba orang itu meludahi mukamu? Kerana itu jika kamu meludah ketika solat, maka ludahlah ke kiri atau ke bawah kakimu. Jika itu tidak mungkin, ludahlah ke sapu tanganmu.” (Hadis Riwayat Muslim)
42- Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku dibawa orang (Jibril a.s) ke telaga zamzam; di sana dadaku dibelah kemudian dibersihkan dengan air zamzam, sesudah itu aku dihantarkannya kembali ke tempatku semula.” (Hadis Riwayat Muslim)
41- Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)” (Hadis Riwayat Muslim)
40- Abu Hind Arrazi berkata: Nabi saw. bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Ingatlah kepadaKu dengan mentaatiku, Aku akan ingat kepadamu dengan pengampunan-Ku. Barang siapa ingat kepada-Ku seraya ia berta'at, maka patutlah Aku ingat kepadanya dengan pengampunan-Ku, dan barangsiapa ingat kepada-Ku seraya ia bermaksiat, maka patutlah Aku ingat kepada-Nya dengan kebencian". (Hadis Riwayat Ad-Dailami dan Ibnu Asakir dari Abi Hind-Arrazi).
39- Umarah bin Daskarah berkata; Nabi saw bersabda: Allah berfirman: "Sesungguhnya hamba-Ku yang sejati, ialah yang selalu ingat kepada-Ku, di saat ia menghadapi musuh setaranya". (Yakni di medan jihad). (Hadis Riwayat Attirmidzi).
38- Ali ra. berkata; Nabi saw. bersabda:
Allah ta'ala berfirman: "Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Barangsiapa mengakui ke-Esaan-Ku ia masuk benteng-Ku dan baransiapa memasuki benteng-Ku ia aman dari siksaan-Ku. (Hadis Riwayat As-Syirazi dalam kitab Al-Alqab dari Ali)
37- Abu Dardaa' ra. berkata: Nabi saw. bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Sesungguhnya seorang hamba yang Aku beri sehat badannya. Dan luas rezekinya kemudia hingga empat tahun tidak datang berkunjung kepadaKU (yakni berhaji), sesungguhnya orang itu sangat rugi". (Hadis Riwayat Atthabarani dan Abu Ya'ala).
36- Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi saw. bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Sesungguhnya Aku hanya menerima salat dari orang yang merendahkan diri karena keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berdzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan surga". (Hadis Riwayat Al-Bazzar dari Ibnu Abbas)
35- Abu Qaqid Allaitsy ra.a. berkata; Nabi saw bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Sesungguhnya aku turunkan harta untuk menegakkan shalat dan mengeluarkan zakat. Dan andaikan seoran ganak Adam telah memiliki sebuah lembah, ia masih ingin memiliki du alembah, dan bila ia telah memiliki dua, ia ingin mendapat ketika, dan tidak ada yang dapat memenuhi perut anak Adam kecuali tanah Dan Allah akan mengampuni orang yang tobat" (Hadis Riwayat Ahmad, At-Thabarani)
34- Ali ra. berkata: Nabi saw. bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Aku sangan murka tas orang yang melakukan kedhaliman (aniaya) terhadap seorang yang tidak ada pembelanya selain Aku". (Hadis Riwayat Athathabarani didalam kita "Alkabar" dan Al Qudha'ie dan Ali)
33- Abu Said ra. berkata: Nabi saw bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Carilah kebaikan kepada orang-orang yang mempunyai sifat belas kasih daripada ummat-Ku tentu kamu akan dapat hidup di bawah lindungannya, karena dari orang-orang yang kejam hati karena murka-Ku menimpa diatas mereka". (Hadis Riwayat Al Qudha'ie dari Abi Said)
32- Anas ra berkata: Nabi saw. bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Aku telah menyediakan bagi hamba-hambaKu yang beriman dan beramal saleh kenikmatan yagn tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telingan ataupun terlintas dalam hati manusia (Hadis Riwayat Ibnu Jarir dari Anas)
31- Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi saw bersabda: Allah ta'ala berfirman: "Apabila hambaKu merencanakan melakukan suatu amal kebaikan kemudian tidak jadi dilakukannya, maka aku mencatat baginay suatu kebajikan, tetapi bila ia melaksanakannya, maka tetap Aku mencatat amalnya itu sepuluh kebajikan sampai berganda tujuh ratus. Dan apabila ia merencanakan untuk melakukan suatu kejahatan lalu tidak jadi dilaksanakannya, maka tidaklah Aku catat baginya, tetapi apabila ia tetap melaksanakannya Aku catat baginya, sebagai satu kejahatan".(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim serta Attirmidzi dan Ibni Hibban dari Abu Hurairah)
30- "Malu Itu Tidak Datang Kecuali Dengan Membawa Kebaikan" (Riwayat Bukhari & Muslim)
29- "Sesungguhnya besar ganjaran adalah dengan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah jika Dia mengasihi sesuatu kaum, nescaya mereka akan diuji dengan ujian. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah. Barangsiapa yang tidak bersabar, nescaya Allah juga tidak akan bersabar dengan mereka!" (Riwayat At-Tirmizi & Ibnu Majah)
28- Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Dia akan mengujinya dengan kesusahan" (Riwayat Al-Bukhari)
27- Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)
26- "Daripada Ibnu Umar menyatakan bahawa Nabi (s.a.w) sudah memberikan kebun baginda kepada penduduk Khaibar untuk diusahakan dengan syarat mereka (Penduduk Kaibar) akan memberikan sebahagian daripada buah-buahan atau hasil tanaman yang diusahakan". (Riwayat Muslim)
25- "Sebaik-baik sedekah adalah mempelajari sesaorang islam akan ilmu, kemudian mengajar ilmunya itu kepada saudara Islam yang lain" (Riwayat Ibnu Majjah)
24- Abu Ubaidah r.a. meriwayatkan bahawa;Daku telah mendengar bahawa Rasulullah bersabda:"Puasa adalah sebagai perisai, selagi dia tidak memecahkan perisai tersebut".
23- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya; Sesungguhnya Al-Aqrak bin Haabis pernah melihat Nabi s.a.w memeluk Hasan. Al-Aqrak lalu berkata: Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya barangsiapa yang tidak menyayangi, nescaya beliau tidak akan disayangi.
22- Bersabda Rasululullah s.a.w."janganlah bercakap melebihi dari zikrullah, sesungguhnya banyak cakap akan mengeraskan hati dan bila hatinya telah keras, ia akan menjadi semakin jauh dari Allah."
21- Sabda Rasulullah S.A.W Maksudnya; "Orang yang memulakan memberi salam adalah terlepas daripada sifat sombong dan takbur" ( Riwayat Al-Baihaqi & Al-Khatib )
20- Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hubungan kekeluargaan itu digantungkan pada Arasy. Ia berkata: Barangsiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan aku maka Allah pun akan memutuskannya.
19- Dari Aishah r.a. katanya Nabi s.a.w. bersabda; "Tidak seorang yang mengerjakan sembahyang pada waktu malam lalu digagahi sehingga tertidur, melainkan dituliskan baginya pahala sembahyang dan tidurnya itu adalah sedekah." - Riwayat Bukhari & Muslim..
18- Hadis Riwayat Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada di dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia beradadi dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada di dalam keimanan.
17- Sabda Rasulullah : "Lakukanlah ketaatan kepada Allah SWT dan takutilah daripada melakukan maksiat kepada Allah dan suruhlah anak-anak kamu melakukan suruhan-Nya dan yang demikian itu akan memelihara anak-anak kamu dan kamu daripada api neraka"
16- Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub r.a katanya: Dahulu, setiap kali Nabi s.a.w selesai mengerjakan sembahyang Subuh, baginda mengarahkan wajahnya kepada para Sahabat seraya bertanya: Apakah semalam ada salah seorang di antara kamu yang bermimpi?
15- Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Mencaci dan memaki orang-orang Islam adalah fasik dan memerangi mereka adalah kafir.
14- Diriwayatkan daripada Jarir r.a katanya:Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku sewaktu Haji Wida' supaya menyuruh orang ramai diam. Setelah orang ramai diam, baginda bersabda: Janganlah kamu kembali menjadi orang-orang kafir setelah peninggalan kudengan memukul-mukul leher di antara satu sama lain di kalangan kamu.
13- Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya.(Maksud Hadis)
12- Apabila seseorang darimu hendak mendirikan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang laksana sembahyang orang yang memberi selamat tinggal, iaitu orang yang sama sekali tidak fikir ia akan dapat kembali bersembahyang lagi.(Maksud Hadis)
11- Apabila amanat dipersia-siakan maka tunggulah saat kebinasaan , tanya perawi hadis ini "Ya Rasulullah, bagaimana dipersia-siakan amanah itu? Jawab Baginda, apabila sesuatu urusan yang penting itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaannya.(Maksud Hadis)
10- Apabila umatku membesar-besarkan dunia nescaya kehebatan Islam akan dihapuskan dari mereka, dan apabila umatku mengabaikan amal-makruf dan nahi-mungkar nescaya mereka akan diharamkan dari keberkatan wahyu.(Maksud Hadis)
09- Tidak masuk syurga kamu sehingga kamu beriman,dan tidak dinamakan beriman kamu, sehingga saling cinta-menyintai.Tidakkah kamu suka kalau aku menunjukkan sesuatuyang jika dilakukannya, tentu kamu semua akan saling cinta-menyintai? Iaitu ratakanlah salam sesama semua.(Maksud Hadis)
08- Orang yang banyak berkata, akan banyak silap, dan orang yang banyak silap akan banyak dosa dan orang yang banyak dosa ialah neraka lebih layak baginya.(Maksud Hadis)
07- Lidah orang mukmin menurut hatinya, bila dia hendak berbicara difikirkannyadahulu sebelum disalurkan ke lidahnya. (Maksud Hadis)
06- Berikanlah sedekah walaupun dengan sebiji tamar ataupun sebuku roti, atau sebuah senyuman yang manis.(Maksud Hadis)
05- Orang yang buruk dari kalangan umatku ialah yang selalu makan mewah, berpakaian aneka ragam dan suka bercakap besar.(Maksud Hadis)
04- Budi pekerti yang baik ialah jika engkau menyambungkan silaturrahim kepada orang yangmemutuskan persahabatan denganmu.(Maksud Hadis)
03- Kamu tidak dapat menggembirakan semua orang dengan harta benda, oleh itu gembirakanlah mereka dengan senyuman berseri dan ikhlas luhur.(Maksud Hadis)
02- Rebutlah lima masa sebelum tibanya lima masa, masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kaya mu sebelum fakir, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati. (Maksud Hadis)
01- Rela merendahkan diri dalam sesuatu majlis,termasuk sifat tawadhuk kepada Allah S.W.T.(Maksud Hadis)

Monday, August 23, 2010

Ujian Allah : Tanamkan Kesabaran

Pejuang hidup kerana berjuang.


Penat berjalan melalui rutin dan hidup hari demi hari. Terasa sakit dan pening kepala memikirkan semua benda yang perlu dilangsaikan. Itu hanya sakit lahiriah, bukan pada batinnya pula! Memikirkan diri sendiri dan ummah lebih membimbangkan. Apakah kesudahan.

Hah. Begitulah hidup kita dalam dunia ini. Allah sering sapa diri kita dengan ujian. Tidak dinamakan seseorang itu hamba Allah jika tidak menerima ujian yang Allah berikan. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar. Dan tiadalah dikatakan seseorang itu SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya.

Kadang-kadang, kita cepat sangat untuk mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.


Ujian Allah = Kasih Sayang-Nya

Dalam menempuh hidup disertai dengan ujian daripada Allah, perlu kita ingat, ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Cuba ingat kembali apakah hikmah selepas ujian Allah itu, adakah kita merasa lebih tenang dalam kesenangan? Atau merasa lebih susah dalam kesusahan? Saya yakin deh! Kita semua boleh berfikir dan renung sejenak, disetiap ujian yang Allah turunkan, ada kebaikan akhirnya. Cuma, mahu tidak mahu sahaja untuk kita berfikir.

Ujian yang Allah berikan itu datang daripada pelbagai arah. Sama ada kita dipermainkan, dihina, dimaki dan dikhianati oleh hamba Allah yang kita kasihi, cintai, sayangi dan yang kita kenali, juga suatu penyakit yang Allah turunkan. Itu semua adalah kasih sayang Allah.

Allah sebenarnya ingin mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap teguh dengan pendirian kita yang kita pegang. Allah ingin memberitahu kita banyak sangat perkara yang boleh membuat kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.

Apabila ujian datang menimpa, kadangkala, kita terasa ujian yang Allah berikan itu datangnya seperti hujan, tidak henti-henti sudahnya. Dan juga, kadangkala terasa seperti diri kita sahaja yang Allah berikan ujian seperti itu.

Kita sering terlupa, bahawa setiap manusia telah dan akan Allah uji dengan cara yang lain. Kita terlupa, bahawa ada hamba Allah yang lain yang lebih teruk dan hebat ujian diri mereka. Begitulah sifat kita sebagai manusia. Seringkali terlupa. Rasanya ungkapan Tun Mahathir yang berbunyi ‘Melayu Mudah Lupa’ patut digantikan dengan ungkapan ‘Hamba Allah Mudah Lupa’.



Hamba Allah Mudah Lupa


Sabar : Orang-orang Yang Hebat

Seringkali, apabila kita teruji dan mungkin menangis menumpang adu kepada sahabat, ungkapan SABAR seringkali kedengaran dan menunjukkan bahawa kekuatan sabar itu adalah KUAT. Ada orang yang sudah lali dengan perkataan sabar yang diungkapkan oleh orang lain.. Ada orang akan mendapat semangat daripada perkataan sabar yang disebut oleh orang lain.

Dan bagi diri saya sendiri, apabila saya memujuk diri saya untuk bersabar, seakan-akan ada suatu semangat yang sukar untuk saya gambarkan. Begitu juga apabila sahabat-sahabat yang lain memberikan sedikit semangat untuk diri saya.

Perlu kita renung sejenak dan tanam dalam hati. Sifat SABAR itu adalah salah satu sifat yang paling tertinggi di sisi Allah. Bukan semua orang boleh bersabar dengan dugaan yang dihadapi, boleh bertenang sambil tersenyum dalam menjalani kehidupan hari demi hari. Tiada sifat seorang muslim yang paling tinggi di sisi Allah melainkan sifat sabar. Sabar adalah kekuatan. Ia tidak mengira keturunan atau darjat yang ada pada diri seseorang itu.

Pesanan buat diri saya sendiri. Saya seringkali memujuk diri. Saya yakin dengan janji Allah.

Allah tetap akan memandang hamba-hamba yang sabar itu lebih dari segalanya. Allah akan tetap memandang dengan pandangan yang penuh kasih sayang melalui pandangan rahmat-Nya. Malah, para malaikat juga akan turut mendoakan hamba yang sabar, Insyaallah.

Percaya dan yakinlah dengan Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpakan sesuatu cubaan kepada kita melainkan kita mampu untuk menanggungnya. Allah tidak zalim untuk menyeksa kita dengan ujian yang Allah memang tahu kita tidak mampu untuk memikul ujian itu. Cuba renungkan kembali, atas dasar apa kita dilahirkan ke dunia dan apa niat kita di atas muka bumi ini.

Dengan sifat yang sabar, kita boleh menjadi seperti seteguhnya karang yang ada di laut. Tidak akan goyah walau dihempas badai yang melanda. Kita tetap akan menjadi lemah-lembut sepertimana rumput akur dengan belaian angin, tetapi kita tidak akan luruh dan tumbang akibat ditampar dengan ribut taufan yang sengaja datang untuk menyapa kekuatan SABAR yang kita ada.

Apabila sebarang musibah datang melanda, cepat-cepat bersuci dan menghadap Tuan Punya Dunia. Mengadulah, menangislah. Memang sifat kita lemah apabila berada di hadapan-Nya. Pujuk jugalah hatimu untuk melunturkan ego agar dirimu lembut untuk menitiskan airmata dihadapan-Nya. Ingatlah wahai diriku, secubit ujian yang Allah berikan, bergumpal-gumpal pahala sebagai ganjaran Allah kepada hamba-Nya. Syaratnya adalah dengan BERSABAR.


Kita Semua Adalah Pejuang

Kita semua adalah askar! Kita semua adalah pejuang! Dan seorang pejuang itu ada perjuangan yang wajib untuk dia selesaikan hingga ke akhir hayat. Hamba Allah, perjuangan kita sebagai hamba Allah adalah untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi sepertimana perjuangan Rasulullah s.a.w dahulu. Dan dengan perjuangan inilah kita akan mendapat keredhaan Allah.

Ingatlah, dalam barisan perjuangan kita ini memerlukan semangat yang tinggi, pengorbanan yang banyak. Semua itu tidak akan dapat kita selesaikan seandainya kita tiada sifat sabar dalam diri. Maka dengan itu, suburkanlah sifat sabar dalam jiwa.

Buangkan sejauh-jauhnya sifat amarah, jauhilah dendam jika dikhianat orang, dan maafkanlah kesalahan orang walaupun perbuatan itu sesuatu yang tidak dapat kita lupakan. Sesungguhnya, Allah juga sangat kasih kepada hamba yang pemurah dengan memaafkan kesalahan orang lain.


Pejuang Hidup Kerana Berjuang!

Seorang pejuang tetap wajib tegar di jalan perjuangan. Seorang pejuang tidak boleh berputus asa dengan perjalanan hidup yang masih panjang walaupun umur kita hanya Tuan Punya Dunia. Apabila seorang pejuang itu rebah kerana berputus asa, bermakna kita memberi peluang kepada iblis dan syaitan untuk bersorak kegembiraan kerana ada anak Adam yang lemah padahal syurga telah Allah janjikan bagi mereka yang penyabar.

Rebah seorang pejuang itu, memang keinginan syaitan laknatullah. Ketahuilah wahai diriku, seisi alam ini, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan para malaikat turut mendoakan kesejahteraan manusia yang baik-baik, yang tetap teguh seperti seteguh karang di jalan perjuangan ini.

Moga qalam ini dapat membuat diri saya berfikir kerana ku menulisnya untuk peringatan diriku sendiri. Aku perlu untuk tetap berdiri di jalan yang penuh duri yang berbisa. Aku perlu. Aku wajib! Kerana, aku hanya mendambakan redha Allah. Dan untuk mendapatkan redha Allah, aku perlu bersabar seiring melalui rintangan perjuangan yang tidak terduga.



Aku sayang Allah~ Aku sayang Rasulullah~


Semoga Allah merahmati.

Bersabarlah Demi Redha-Nya




Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadang kala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.

Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah sedang menduga. Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.

Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadang membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadang kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis olehNya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuanNya? Kadang kala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapanNya.

'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '

Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?

Subhanallah. Maha suci Allah... !
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna.. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayatNya.

Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.


Ya Allah... kenapa semua ini terjadi padaku?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216)

Ya Allah.. kenapa terlalu berat ujian ini?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)

Ya Allah.... terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)

"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Ya Allah... bagaimana harus kuhadapi semua ini?

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah : 45)

Ya Allah... apa yang akan kudapat daripada semua ini?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..(At-Taubah : 111)

Ya Allah.... kepada siapa harus ku berharap?

"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129)

Ya Allah...berimankah aku?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta? (Al-Ankabut : 2-3)

Renungi dan redhalah terhadap ketentuan Allah. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Moga kita menjadi hamba yang Redha dan diredhai-Nya.

10 Hal Yang Mendatangkan Cinta Allah


Saudaraku, sungguh setiap orang pasti ingin mendapatkan cinta Allah. Namun bagaimanakah cara untuk mendapatkan cinta tersebut? Ibnul Qayyim Rahimahullah menyebutkan beberapa hal untuk menerangkan maksud perkara tersebut dalam kitab beliau Madarijus Salikin , tahap-tahap menuju wahana cinta kepada Allah adalah seperti berikut:

1) Membaca al-Qur’an dengan merenung dan memahami kandungan maknanya sesuai dengan maksudnya yang benar.

Itu tidak lain adalah renungan seorang hamba Allah yang hafal dan mampu menjelaskan al-Qur’an agar difahami maksudnya sesuai dengan kehendak Allah SWT. Al-Qur’an merupakan kemuliaan bagi manusia yang tidak boleh ditandingi dengan kemuliaan apapun. Ibnu Sholah mengatakan

“Membaca Al-Qur’an merupakan kemuliaan, dengan kemuliaan itu Allah ingin memuliakan manusia di atas makhluk lainnya. Bahkan malaikat pun tidak pernah diberi kemuliaan seperti itu, malah mereka selalu berusaha mendengarkannya dari manusia”.

Perkara ini boleh dilakukan umpama seseorang memahami sebuah buku iaitu dia menghafal dan harus mendapat penjelasan terhadap isi buku tersebut. Ini semua dilakukan untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh si penulis buku. (Maka begitu pula yang dapat dilakukan terhadap Al Qur’an)


2)Mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah-ibadah sunat, setelah mengerjakan ibadah-ibadah wajib.

Orang yang menunaikan ibadah-ibadah fardhu dengan sempurna mereka itu adalah yang mencintai Allah. Sementara orang yang menunaikannya kemudian menambahnya dengan ibadah-ibadah sunat, mereka itu adalah orang yang dicintai Allah. Ibadah-ibadah sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah, diantaranya adalah solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, sedekah sunat dan amalan-amalan sunat dalam haji dan umrah.

3)T
erus-menerus mengingat Allah (zikir) dalam setiap keadaan, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan keadaan dirinya.

Kadar kecintaan seseorang terhadap Allah bergantung kepada kadar zikirnya kepada-Nya. Zikir kepada Allah merupakan syiar bagi mereka yang mencintai Allah dan orang yang dicintai Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah aza wajalla berfirman :”Aku bersama hambaKu selama ia mengingatKu dan kedua bibirnya bergerak (untuk berzikir) kepadaKu”.

Ingatlah, kecintaan pada Allah akan diperoleh sekadar dengan keadaan zikir kepada-Nya.


4)Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri walaupun dikuasai hawa nafsunya.

Melebihkan cinta kepada Allah daripada cinta kepada diri sendiri, meskipun dibayangi oleh hawa nafsu yang selalu mengajak lebih mencintai diri sendiri. Ertinya ia rela mencintai Allah meskipun berisiko tidak dicintai oleh makhluk dan harus menempuh berbagai kesulitan. Inilah darjat para Nabi, diatas itu darjat para Rasul dan diatasnya lagi darjat para rasul Ulul Azmi, lalu yang paling tinggi adalah darjat Rasulullah Muhammad s.a.w. sebab baginda mampu melawan kehendak dunia seisinya demi cintanya kepada Allah.

5)Merenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah.

Begitu pula hatinya selalu berusaha memikirkan nama dan sifat Allah tersebut berulang kali. Barangsiapa mengenal Allah dengan benar melalui nama, sifat dan perbuatan-Nya, maka dia pasti mencintai Allah. Oleh karena itu, mu’athilah, fir’auniyah, jahmiyah (yang kesemuanya keliru dalam memahami nama dan sifat Allah), jalan mereka dalam mengenal Allah telah terputus (kerana mereka menolak nama dan sifat Allah tersebut).

6)Memerhatikan kebaikan, nikmat dan kurnia Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat lahir mahupun batin akan mengantarkan kita kepada cinta hakiki kepada-Nya.

Tidak ada pemberi nikmat dan kebaikan yang hakiki selain Allah. Oleh sebab itu, tidak ada satu pun kekasih yang hakiki bagi seorang hamba yang mampu melihat dengan mata batinnya, kecuali Allah SWT. Sudah menjadi sifat manusia, ia akan mencintai orang baik, lembut dan suka menolongnya dan bahkan tidak mustahil ia akan menjadikannya sebagai kekasih. Siapa yang memberi kita semua nikmat ini? Dengan menghayati kebaikan dan kebesaran Allah secara lahir dan batin, akan mengantarkan kepada rasa cinta yang mendalam kepadaNya.

7) Menghadirkan hati secara keseluruhan (total) semasa melakukan ketaatan kepada Allah dengan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya inilah yang disebut dengan khusyu’.

Hati yang khusyu’ tidak hanya dalam melakukan solat tetapi dalam semua aspek kehidupan ini, akan mengantarkan kepada cinta Allah yang hakiki.

8)Menyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir.

Di saat itulah Allah SWT turun ke dunia dan di saat itulah saat yang paling berharga bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan beribadah dan bermunajat kepada-Nya serta membaca kalam-Nya (Al Qur’an) dan solat malam agar mendapatkan cinta Allah. Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya.

9)Bergaul bersama orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para siddiqin.

Kemudian memetik perkataan mereka yang seperti buah yang begitu nikmat. Kemudian dia pun tidaklah mengeluarkan kata-kata kecuali apabila jelas maslahatnya dan diketahui bahawa dengan perkataan tersebut akan menambah kemanfaatan baginya dan juga bagi orang lain.

10)Menjauhi segala sebab yang dapat menghalang komunikasi antara dirinya dan Allah SWT.

Semoga kita sentiasa mendapatkan cinta Allah, itulah yang seharusnya dicari setiap hamba dalam setiap degup jantung dan setiap nafasnya.

Ibnul Qayyim mengatakan bahawa "kunci untuk mendapatkan itu semua adalah dengan mempersiapkan jiwa (hati) dan membuka mata hati."


Rujukan: Madaarijus Saalikin, 3/ 16-17, Ibnu Qayyim Al Jauziyah, terbitan Darul Hadits Al Qohiroh

Sabarlah..

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Demi Tuhanku yang diriku di bawah penguasaan-Nya dan sentiasa dalam pengawasan-Nya, aku tidak menulis melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan dengan izin-Nya. Sesungguhnya aku menulis dengan penuh kasih sayangku kepadamu sebagai seorang sahabat, sebagai seorang saudara seagamaku. Aku tidak inginkan melainkan kebaikan bagi dirimu dan bagi diriku agar kita sama-sama beroleh syurga yang sangat kita impikan di pengakhiran sebuah perhitungan.

Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan lebih tenang menerima segala penolakan.

Wahai sahabatku,

Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?


Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.

Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?

Wahai sahabatku,

Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allahlah segala kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.

Bersabarlah

Refresh hati kita


Bila kita memulakan sesuatu...
Kadang-kadang kita lupa letakkan niat
Kadang-kadang kita lupa baca Bismillah
Sebab tu bila ada masalah,
Kita cepat menyerah...

Bila kita berniat...
Kadang-kadang kita lupa letakkan usaha,
Kadang-kadang kita tunggu disergah baru hendak mengolah,
Sebab tu bila kerja tak menjadi,
Kita mula angkat kaki...

Bila kita berusaha...
Kadang-kadang lupa pula hendak berdoa,
Siang malam kerah tenaga dan masa...
Sebab tu bila kerja masih tak sempurna,
Kita mudah putus asa...


Bila kita berniat, berusaha dan berdoa...
Kadang-kadang kita lupa pula untuk bertawakkal pada Yang Esa.
Bertawakal pun pada bicara tapi di hati masih buta.
Sebab tu bila dilanda masalah,
Kita marah tak tentu hala...

Bila kita berniat, berusaha, berdoa dan bertawakal...
Kadang-kadang kita tetap alpa,
Nak sebut Alhamdulillah pun payah,
Berdoa pun sekali sekala,
Bersyukur sekejap cuma..

Sebab tu bila kita berjaya,
Allah datangkan ujian dan musibah...
Supaya kita ingat dan kembali ke jalan redha,
Tetapi kita kecewa sampai mencari jalan mudah..
Membenci diri memusuhi nadi.

Sedangkan...
Kita manusia ciptaan Allah,
Bernafas di udara yang sama,
Bila lemah Allah itu ada,
Bila derita Allah itu bersama,
Senang, susah, sedih, gembira...
Allah takkan lupa pada langkah kita.

Tapi sememangnya lahiriah kita,
Kadang-kadang lebih suka dipuji,
Sebab itu kita jarang memuji Yang Maha Terpuji,
Kadang-kadang lebih suka dicintai,

Sebab itu kita lupa menyintai Yang Maha Menyintai,
Kadang-kadang kita lebih suka menyendiri,
Tapi lupa Allah sedang memerhati...
Sebab itu teruskanlah bermuhasabah pada pencipta,

Kerana dalam firman Allah;

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-Ra'd:11)"

Kerana itu..
Pada masalah harus bersabar dan redha
Pada ujian harus tabah dan teguh
Pada kegagalan harus usaha, doa dan tawakkal
Pada kejayaan harus usaha, doa dan tawakkal..


Sama tetapi tidak serupa,

Kerana kejayaan di dunia bukan pengukur kejayaan di sana
Kekayaan harta di dunia bukan jaminan kebahagiaan di sana
Kesusahan dan penderitaan di dunia belum tentu bersambung di sana

Kealpaan kita di dunia pasti menjadi kesakitan kita di sana...
Di sana itulah yang perlu kita kejar,
Agar dunia mengikuti dengan redha...

Di sana,

Akhirat yang pasti...
Syurga yang terindah,
Atau
Neraka yang menyala!

Rahmat Sebalik Ujian



Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran kepada hamba-Nya, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kita, siapa di antara kita yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Allah telah memuliakan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Dia menghantar Rasul-Nya untuk mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang, menuju Tuhan. Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan tujuan dan bersebab.
Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, yang telah dihantar oleh Allah kepada Umat Manusia sebagai satu anugerah, membawa Rahmah ke seluruh pelosok alam. Demi Allah, sungguh tidak akan sesat orang yang berpegang pada tali agama Allah, menggigit Al-Quran dan Sunnah dengan gigi gerahamnya dan dia sama sekali tidak pernah mencari selainnya sebagai sesuatu yang lebih agung dan lebih utama.

Hidup ini adalah satu medan ujian. Dunia ini hanyalah sebuah persinggahan dan bukan destinasi. Sebuah perhentian dan bukan pengakhiran. Tanpa ujian, manusia takkan pernah terhantuk dan tengadah, bahkan akan terus lalai dengan dunianya sendiri yang penuh dengan angan-angan, hiasan syaitan. Ujian adalah satu bentuk interaksi antara Allah dan kita. Ujian membuatkan kita mendongak ke langit, menadah tangan memohon perhatian Tuhan. Kita selalu lupa, namun Allah tak pernah sekali-kali lalai daripada hamba-Nya.

Di hujung ujian ada Rahmat yang disediakan buat orang-orang yang berjaya, dan penyesalan buat orang-orang yang gagal. Jika kita tak pernah memahami atau cuba untuk mengerti hakikat ini, maka kita akan terus terkandas dalam ujian. Ujian demi ujian, keluhan demi keluhan, hidup terus berjalan dengan tertekan, tak pernah merasakan kenikmatan di sebalik ujian. Maka kita sangat perlu memahaminya, bahawa Rahmat Allah menanti di sebalik sesebuah ujian. Ujian itu takkan pernah hilang daripada papan cerita kehidupan ini.

Ujian membawa kita semakin dekat dengan pemberi ujian, mungkin juga sebaliknya. Ujian adalah lambang kasih sayang pencipta. Itu tanda Allah sentiasa mengambil berat dan tak pernah meninggalkan kita sendirian, kita bagaimana?

Ujian dan Iman

Firman Allah dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-2, ertinya:

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?”


Ayat ini menggambarkan kepada kita betapa iman itu berkait rapat dengan ujian. Kenikmatan iman itu dikecapi setelah kita berjaya melalui beberapa siri ujian yang telah ditetapkan oleh Allah. Semakin hebat ujian, semakin manis iman yang bakal kita rasai di penghujungnya, bagi orang-orang yang berjaya melaluinya. Jika kita gagal menempuhinya dengan baik, kita akan terus diberi peluang dan didatangkan lagi dengan ujian-ujian yang lain. Kita akan semakin tersasar jika kita terus menerus gagal dan tak belajar menjadi lebih baik. Allah itu begitu Maha Pengasih dan masih memberi ruang kepada kita belajar daripada ujian.

Firman Allah lagi dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-3, ertinya:

“Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”


Iman itu memerlukan pembuktian. Seberat-berat ujian yang pernah kita alami, tak mungkin seberat Bilal Bin Rabah R.A. tatkala menampung batu besar di terik panas matahari padang pasir. Khabbab Bin ‘Arath R.A. begitu terseksa saat besi panas yang membara di atas kepalanya membakar dan menghanguskannya. Namun, mereka telah membuktikan keimanan mereka dan Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta. Di hujung penderitaan yang dialami generasi awal Islam itu, mereka mengakhiri kehidupan menuju alam abadi dengan penuh ketenangan.

Ujian itu adalah tempaan Allah buat orang-orang beriman. Pedang yang hebat takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik. Maka kita beruntung kerana Allah akan mengangkat darjat kita dengan ujian yang diturunkannya. Allah ingin memberikan berita gembira kepada kita jika kita bersabar atas ujian yang kita hadapi.

Lihatlah Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 155-156, ertinya:


“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Kita milik Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan)””

Ujian Pelbagai Bentuk

Tahap ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada manusia itu berbeza-beza, berdasarkan kepada keimanannya. Bentuk ujian itu juga pelbagai. Ada orang diuji dengan wanita, yang lainnya dengan harta, anak-anak, kesusahan, kawan-kawan dan sebagainya. Bagi para pelajar, peperiksaan itu juga satu bentuk ujian. Hakikatnya, kehidupan ini sendiri keseluruhannya adalah medan ujian, akhirat nanti medan ganjaran.

Biar apa juga bentuk ujian yang kita alami, Rahmat Allah tetap akan mengiringi jika kita menghadapinya dengan penuh sabar dan pengharapan kepada Allah. Allah sangat-sangat suka jika hamba-Nya mengadu kepada-Nya, menitiskan air mata di balik tirai malam dan mengakui kelemahannya. Tidak dapat tidak, ujian itu harus dilalui dengan penuh pengharapan kepada pertolongan Allah, kebergantungan yang sepenuhnya kepada pemilik diri kita. Jika tidak, kita akan buntu mencari jalan, kerana hanya Dia penunjuk jalan.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 153, ertinya:


“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan Solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”


Ayat ini begitu dalam maknanya bagi orang-orang yang ingin memahami, dan begitu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. Sabar dan Solat itu kunci dalam memohon pertolongan Allah. Sampai bila kita harus bersabar? Sampai Allah memberikan pertolongan. Selagi kita diuji, selagi itulah kita bersabar.

Rasulullah adalah orang yang paling hebat kesabarannya bahkan paling besar ujiannya. Dan baginda jugalah yang paling mulia di sisi Allah di kalangan seluruh Umat manusia. Maka ujian itu sememangnya menuntut kesabaran, dan kesabaran akan mengangkat darjat seorang manusia.

“Dari Abu Hurairah R.A., ada seorang lelaki berkata kepada Nabi S.A.W., “Berilah aku wasiat.” Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jangan marah!” Beliau mengulang-ulang beberapa kali ucapan, “Jangan marah!” (HR Bukhari)

Kesimpulannya, ujian itu pasti. Pergantungan kepada Allahlah yang akan membuatkan kita tenang menghadapinya. Mungkin kita sudah puas membaca, sekarang mari kita sama-sama merasa. Wallahua’lam.

Kebaikan


Kebaikan. Sesuatu yang diimpikan oleh semua manusia. Sekalipun manusia yang jahat, pasti dia juga inginkan kebaikan buat dirinya. Sekalipun manusia itu sering menganiayai manusia lain dan melakukan kejahatan terhadap orang lain, ia tetap tidak suka dan benci orang lain melakukan kejahatan kepada dirinya. Itulah dia, fitrah manusia, inginkan kebaikan. Ingin menjadi baik dan sukakan kebaikan.

Kalau begitu, kenapa masih ramai yang melakukan kejahatan? Menzalimi diri sendiri dan orang lain? Apakah kebaikan itu sendiri sudah dibenci sehingga kejahatan itu diimpi-impikan? Fitrah manusia itu baik, namun ia boleh berubah dan bertukar arah tatkala dirinya dibelenggu nafsu, digoda syaitan.

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
(Yaasin: Ayat 60)

Syaitan. Makhluk yang paling ingin melihat kehancuran bagi umat manusia. Sejak azali sampai bila-bila. Sampai kita bertemu Tuhan dan sampai kita terjerumus ke dalam neraka bersama-samanya. Saat itu ia berlepas diri daripada kita kerana dia juga akan dibelenggu Tuhan. Saat itu kita bakal menyesal dan tidak ada lagi jalan keluar. Bila berbicara soal, kebaikan, semua orang suka, semua orang nak. Tapi tak semua orang betul-betul mengimpikan kebaikan itu dalam ertikata yang sebenar. Kebaikan sebenar itu adalah hidup berlandaskan aturan Tuhan, Allah dan Rasul, Muhammad.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.”
(At-Tiin: Ayat 4-6)


Iman. Ada naik dan ada turunnya. Ada saat kita merasa dekat dengan syurga, ada ketika kita merasa paling layak dihumban ke neraka. Saat iman itu memuncak, kebaikan menjadi bunganya. Saat iman itu lebur dengan dunia, kejahatan bertakhta dan manusia menjadi gila, hilang pegangan dan hilang tujuan. Maka tidak ada yang dapat menjadi sebab agar kebaikan itu tersebar ke seluruh pelosok dunia, melainkan iman. Yang benar dan teguh, yang mantap dan kukuh. Kalau iman itu menjadi nyawa kepada kehidupan, maka kebaikan akan menjadi buah yang dapat dinikmati bersama. Namun iman itu disertai amal soleh, ada pahala tak putus-putus yang menanti di penghujungnya.

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.
(At-Taubah: Ayat 105)


Bicara. Ramai orang suka berbicara, tapi hakikatnya dia sendiri tak pernah peduli dan tak pernah berusaha untuk merealisasikan kebaikan. Saat melihat orang melakukan kejahatan, dia bicara lebat, ingin menunjukkan dirinya hebat dan paling baik di dunia. Tapi saat dirinya sendiri terjebak ke dalam kejahatan, kes ditutup, biar saja terpadam. Tak mahu diterima kritikan dan nasihat orang lain. Di satu sudut, ada manusia yang hanya inginkan kebaikan. Di satu perspektif yang lain, ada segolongan insan terpilih yang maju ke hadapan dan berusaha menyebarkan kebaikan dan memperjuangkannya. Dia sendiri baik, dan dia ingin semua manusia menjadi baik. Dia tidak peduli berapa ramai yang menjadi baik dengan usahanya, namun dia sentiasa merenung setakat mana dia telah bertungkus lumus untuk menyampaikan mesej kebaikan.

Bila berbicara soal kebaikan, ia adalah indah. Namun bila bicara itu dibawa ke dalam kehidupan, ia menjadi mencabar, tak mudah. Kesimpulannya, jangan hanya bicara tentang kebaikan, bekerjalah untuk menyebarluaskan kebaikan dan memastikan manusia menjadi baik. Memperjuangkan kebaikan itu bertitik tolak daripada perjuangan iman, untuk Allah dan Rasul, juga demi menentang Syaitan, musuh manusia paling nyata.

Wallahua’lam.