Tuesday, August 24, 2010

Tafsir mimpi

Tafsir-tafsir mimpi ini menunjukkan bahawa lebih mulia dan suci jiwa seseorang itu maka lebih menjangkau jauh dan lebih besar pengertiannya terhadap apa yang terkandung dalam mimpi yang dialaminya.

Ibn Sirin adalah seorang ahli hadith. Beliau mendalami secara teliti dan terperinci segala ibarat yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Berdasarkan ibarat-ibarat inilah sesuatu mimpi ditafsirkannya. Menurut Ibn Sirin, di samping panduan daripada ibarat-ibarat yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah, tafsir sesuatu mimpi itu juga bergantung kepada bila mimpi tersebut dialami. Mimpi yang paling menepati kebenaran dalam realiti kehidupan adalah mimpi yang dialami menjelang masuknya waktu subuh dan juga mimpi pada waktu tengahari. Namun mimpi yang dialami pada waktu malam adalah lebih kuat daripada yang dialami pada waktu siang. Ibn Sirin juga menjelaskan bahawa mimpi yang ringkas dan padat adalah mimpi yang lebih pantas hakikat sebenarnya berlaku dalam realiti kehidupan.

Selain itu, Ibn Sirin juga menjelaskan kejernihan jiwa dan kekuatan rohani seseorang itu akan menjadikan mimpi yang dilaluinya paling hampir menepati realiti dalam satu jangka masa yang terdekat.

Selain daripada buku Ibn Sirin terdapat penjelasan Ibn Khaldun tentang mimpi dalam bukunya, Muqaddimah. Ibn Khaldun menjelaskan selain mimpi yang benar dan juga mimpi yang dipengaruhi oleh syaitan, terdapat juga mimpi disebabkan fikiran dan perasaan seseorang yang terlalu tertumpu kepada sesuatu perkara pada waktu berjaganya.Ibn Khaldun menghuraikan dengan panjang lebar sifat-sifat mimpi seumpama ini dan menghuraikannya sebab-sebab mengapa ia berlaku sesuai dengan tahap pemikiran manusia pada zamannya.

1 comment: